
KANGAR: Harga santan di negeri ini masih kekal seperti sebelumnya berdasarkan pemantauan yang dijalankan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad.
Menurutnya, tindakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengimport kelapa turut membantu kestabilan harga, sekali gus memberi manfaat kepada peniaga di Perlis.
“Setakat pemantauan, harga santan masih kekal pada harga lama. Keadaan masih terkawal, malah harga makanan berasaskan santan juga masih kekal.
“Kita tengok respon dari peniaga, mereka boleh jual habis secara harian,” katanya selepas membuat tinjauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Bazar Ramadan Kangar, di sini semalam.
Terdahulu, terdapat kebimbangan bahawa harga santan berkemungkinan meningkat sepanjang Ramadan sekiranya isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran berlarutan.
Dalam perkembangan berkaitan, Razali bersama Penguat Kuasa KPDN Negeri Perlis turut mengadakan tinjauan dan pemantauan di Bazar Ramadan Tapak Market Lama, di sini semalam.
Menurutnya, pemeriksaan kali ini memberi tumpuan kepada pematuhan peniaga terhadap pameran harga jualan.
Hasil tinjauan ujarnya, mendapati semua peniaga mematuhi peraturan serta syarat yang ditetapkan.
“Namun begitu, dari masa ke masa, tinjauan dan pemantauan akan terus dijalankan oleh pihak berkuasa. Ini bukanlah bertujuan untuk menakutkan peniaga, tetapi sebagai peringatan agar mereka terus mematuhi peraturan,” katanya lagi.
Beliau turut menghargai kerjasama baik yang diberikan oleh para peniaga sepanjang pemantauan berlangsung.
Turut hadir, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Perlis, Farah Adlina Ropaie. – HARAKAHDAILY 6/3/2025











