
SHAH ALAM: Selepas isu kekurangan bekalan beras masih belum selesai, rakyat kini berdepan dengan kenaikan harga santan yang menjadi bahan asas dalam masakan harian masyarakat Malaysia.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sobirin Marsono berkata, kenaikan harga santan ini memberi impak besar kepada rakyat, terutama menjelang bulan Ramadan dan persiapan Aidilfitri di mana permintaan terhadap santan meningkat.
“Antara yang paling terkesan juga adalah para peniaga di bazar Ramadan yang kebanyakannya menggunakan santan untuk masakan lauk pauk dan juga kuih muih.
“Peniaga terpaksa menaikkan harga makanan untuk menampung harga santan yang naik berpunca daripada kenaikan harga sebiji kelapa akibat kekurangan bekalan sejak hujung tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, harga sewa tapak yang tinggi, kenaikan kos bahan mentah lain serta kelengkapan berniaga juga menjadi faktor peniaga bazar di Selangor perlu menaikkan harga makanan untuk menjaga kualiti makanan yang dijual.
“Kenaikan harga barang akan memberi kesan yang besar kepada kos sara hidup rakyat. Isu seperti kekurangan bekalan ini mesti segera diatasi agar harga barang tidak terus menaik mendadak dan membebankan rakyat,” katanya.
Tinjauan umum mendapati berlaku trend peningkatan harga makanan hingga mencecah RM3 di bazar Ramadan bagi kebanyakan juadah berbuka puasa.
Terutama makanan popular seperti martabak, roti john dan air balang yang ternyata membebankan pembeli kerana rata-rata peniaga terpaksa menaikkan harga disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan operasi penjualan. – HARAKAHDAILY 5/3/2025











