RUU Perkhidmatan Parlimen tidak cukup ‘masak’

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dibentangkan oleh kerajaan tidak cukup ‘masak’ dan perlu dibincang sedalam-dalamnya melibatkan semua pihak termasuk pegawai dan staf perkhidmatan Parlimen sendiri.

- Advertisement -

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, ia antara sebab mengapa pihaknya meminta supaya RUU itu ditangguhkan dan dibentuk satu jawatankuasa untuk mengkaji secara mendalam bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

“Contohnya dalam RUU Perkhidmatan Parlimen, tidak disebut langsung fungsi dan posisi ahli parlimen itu di mana. Hanya menganggotai satu Jawatankuasa Majlis Perkhidmatan Parlimen, dua orang sahaja dari pembangkang, dua dari kerajaan.

“Sedangkan semalam ada yang membincangkan supaya ditambah ketua pembangkang, ataupun ketua backbenchers ada dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen, barulah mereka boleh berperanan, memberi pandangan dan sebagainya,” katanya dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau dalam pada itu turut menyokong cadangan yang dikemukakan beberapa ahli parlimen supaya peruntukan dapat diberikan kepada semua ahli Dewan Rakyat tanpa mengira parti.

“Sudah tentulah bila RUU ini masukkan peruntukan kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti, esok kita perintah pun, mereka akan dapat peruntukan. Tak perlu merayu-rayu. Sekarang kita merayu jenuh, berjumpa jenuh, tak dapat juga.

“Sedangkan dalam manifesto Pakatan Harapan, dimasukkan untuk memberi peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen tidak kira kerajaan, tidak kira pembangkang.

“Justeru, saya bersetuju dengan beberapa cadangan ahli parlimen pembangkang semalam untuk menangguh seketika supaya RUU ini memberi keadilan kepada semua yang berkhidmat di Parlimen dan juga kepada ahli parlimen itu sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Misbahul turut menyentuh mengenai soalan-soalan lisan yang diberikan beliau, namun sama sekali tidak dipilih untuk dijawab oleh pihak kerajaan.

“Saya bagi 10 soalan lisan, satu pun tak naik. Soalan yang dijawab secara bertulis, ada yang tak jawab soalan. Nak tanya tak boleh, sebab bertulis. Saya tanya lain, jawab lain, berjela-jela. Jawapan, tidak ada. Nak tanya tak boleh. Nak baca, buang masa, rugi.

“Kerap kali menteri tak ada, timbalan pun tak ada. Tak boleh ke buat jadual? Hari menteri tak ada, timbalan ada. Itu baru betul-betul reform,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

- Advertisement -