
KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) menegaskan tidak berbangkit ahli parlimen pembangkang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025.
Beliau berkata, sebaliknya persoalan yang timbul adalah mengenai hak setiap ahli parlimen.
Menurutnya, apabila ahli parlimen memasuki Dewan Rakyat, sebahagian mereka adalah ahli parlimen kerajaan dan sebahagian lagi pembangkang.
“Dia ada benda yang kita boleh sokong, benda yang kita tolak dan boleh kita panjangkan (extend). Ini bukan perkara dalam al-Quran yang ada halal haram. Jadi apa salahnya tindakan semalam? Kenapa mengatakan kami menolak?
“Tadi ada parlimen kata read between the lines (membaca maksud yang tersirat). Bukankah patut anda yang membaca read between the line. Kenapa pembangkang dalam satu RUU yang membicarakan tentang legislatif (penggubal undang-undang), kami extend. Patutnya pihak kerajaan kena baca between the lines sebab bukan kami yang memerintah.
“Sebab ini adalah RUU yang membicarakan hak kita semua. Tidak kira sama ada kita kerajaan mahu pun pembangkang. Di mana logik yang mengatakan kami menolak (RUU itu),” katanya ketika membahaskan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairil Nizam berkata, perkara itu sepatutnya dibincangkan dengan lebih teliti di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas seperti yang pernah kerajaan Perikatan Nasional lakukan sebelum ini.
“Sebelum ini, kita (PN) buat satu jawatankuasa pilihan khas mengenai anti lompat parti. Bincang mula-mula sebab banyak pendapat dan cadangan bernas ahli parlimen, sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025











