
KUNDUZ, Afghanistan: Nasib rakyat Afghanistan yang terkesan dengan krisis ekonomi dan kemanusiaan terus terbela dengan kehadiran badan bukan kerajaan, Yayasan Amal Malaysia sejak Selasa, 25 Feb lalu.
Terkini, badan kemanusiaan itu melalui misi Ramadan pada tahun ini menghantar sukarelawan diketuai Naib Presidennya, Zulkifli Baharom ke wilayah Kabul dan Kunduz, Afghanistan.
Selain Zulkifli yang juga Pengerusi Cawangan Kedah, misi itu turut disertai Naib Presiden merangkap Pengerusi Cawangan Pulau Pinang, Norazman Ishak.
Sepanjang seminggu di Afghanistan, misi badan kemanusiaan itu telah berjaya mengagihkan bekalan makanan untuk 300 keluarga memerlukan di Kabul dan Kunduz, termasuk kepada kelompok ibu tunggal.

Selain bantuan makanan yang dijangka bertahan untuk tempoh sebulan itu, delegasi juga telah mengadakan majlis berbuka puasa atau iftar bersama 1,200 anak yatim dan pelajar di beberapa madrasah di dua wilayah itu.
Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia juga mengagihkan 7,000 mushaf al-Quran sumbangan rakyat Malaysia dan membina lapan telaga tiub di kawasan memerlukan di Kabul dan Kunduz.
Kemuncak misi Ramadan pada kali ini adalah perasmian Masjid Hazrat Omar Farouk di Qarhgan Tape di daerah Imam Shahib, Kunduz, sebuah wilayah yang terletak di utara Afghanistan bersempadan dengan Tajikistan.

Masjid baharu dengan kapasiti 1,000 jemaah membabitkan kos sekitar RM200,000 dana sumbangan rakyat Malaysia itu telah siap dalam tempoh setahun selepas kerja-kerja pembinaan bermula Ramadan tahun lalu.
Sebelum ini, lebih 300 keluarga di kampung itu menggunakan ‘masjid’ lama yang daif dan tidak selesa selain terpaksa berjalan kaki lebih 20 minit untuk solat Jumaat di kampung bersebelahan.
Ini adalah masjid kedua dibina Yayasan Amal Malaysia di Afghanistan sejak pertukaran kerajaan di bekas negara perang pada Ogos 2021.
Masjid wakaf pertama dibina Yayasan Amal Malaysia adalah di Herat di barat Afghanistan. – HARAKAHDAILY 5/3/2025












