
KUALA LUMPUR: Keberkesanan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dalam menangani kes penipuan kewangan serta perlindungan pengguna perlu terus diperkukuh.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, ini bagi memastikan mangsa mendapat tindakan segera dan keadilan sewajarnya.
“Apakah kerajaan menyediakan langkah-langkah tambahan yang akan diambil ke atas peningkatan kecekapan respons atau aduan pengguna?
“Apakah kerajaan berhasrat untuk mewujudkan satu tribunal khas di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memudahkan aduan daripada pengguna yang ditipu ataupun yang tertipu?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yung, berkata kerajaan sedang meneliti usaha memperluas operasi NSRC, termasuk mempertimbangkan pelanjutan waktu operasi kepada 24 jam untuk memastikan laporan mangsa dapat diambil dengan lebih cepat.
“Kita memang terima banyak permintaan untuk mengadakan kepada 24 jam tetapi kita masih dalam kajian. Lanjutan tempoh masa ini juga akan mengambil kira trend semasa aktiviti penipuan termasuk jenis dan juga waktu sesuatu aa kejadian berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025











