Timbul persoalan makna sebenar pertukaran mahasiswa

Dato' Sri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sasaran negara dalam program pertukaran pelajar perlu disemak kembali, kata Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

- Advertisement -

Menurutnya, destinasi seperti Australia dan New Zealand kini menjadi pilihan utama berbanding Eropah serta Amerika Utara akibat kos pengajian yang tinggi di rantau tersebut.

Beliau turut membangkitkan isu tempoh singkat program pertukaran mahasiswa, yang lazimnya berlangsung sekitar dua minggu tanpa jaminan balasan daripada universiti rakan kerjasama.

“Ada sekumpulan mahasiswa yang pergi bersama pensyarah mereka dengan mencari dana sendiri. Saya tidak pasti sama ada pensyarah ini menerima pembiayaan universiti, menggunakan wang sendiri, atau mendapat subsidi daripada mahasiswa.

“Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai makna sebenar pertukaran mahasiswa. Saya berharap kementerian dapat memantau perkara ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab isu tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, agensi Education Malaysia Global Services (EMGS) sedang meneroka negara baharu sebagai destinasi mobiliti pelajar.

“Sempena Pengerusian ASEAN 2025, Malaysia akan memainkan peranan utama melalui program ASEAN University Forum bagi menarik minat mahasiswa luar serta menghantar lebih ramai pelajar kita ke luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

- Advertisement -