
TANAH MERAH: Kecekapan pasukan operasi Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempadan Sungai Golok awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada jam 1:20 pagi, pasukan beroperasi mengesan dua lelaki menunggang motosikal menuju ke pengkalan haram di kawasan tersebut.
Ketika diserbu, seorang lelaki berjaya ditahan manakala rakannya meloloskan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke Thailand.
Menurut kenyataan media TDM, hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang ditahan merupakan warganegara Pakistan dan mendakwa bekerja di Pulau Pinang sejak 2024.
Namun warganegara berkenaan tiada rekod rasmi menunjukkan dia memasuki Malaysia secara sah.
“Lelaki itu turut mendakwa perjalanannya keluar dari Malaysia ke Thailand telah diatur oleh lelaki yang melarikan diri yang dipercayai bertindak sebagai ejen yang menguruskan kemasukan dan penghantaran PATI antara kedua-dua negara.
“Turut dirampas dalam operasi itu ialah visa pelancong Thailand yang sah hingga 7 Mei 2025, sebuah telefon bimbit, beberapa barangan peribadi, serta motosikal yang dipercayai milik suspek yang melarikan diri. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM5,959,” kata kenyataan media itu lagi.
PATI yang ditahan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63.
Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia, kawalan keselamatan di sempadan akan terus diperketat bagi membanteras jenayah rentas sempadan.
Meskipun bulan Ramadan, semangat pasukan operasi tidak akan luntur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka demi keselamatan negara. – HARAKAHDAILY 4/3/2025












