
KANGAR: Stok beras putih tempatan (BPT) di Perlis masih mencukupi dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik bagi memastikan bekalan dapat dinikmati oleh semua pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Razali Saad berkata, penjualan beras putih tempatan di Perlis telah bermula sejak 1 Mac lalu dengan harga RM26 bagi pek 10 kilogram.
“Sebanyak 3,000 pek beras bersamaan 30 metrik tan telah memasuki pasaran negeri ini dan kini hampir 10 pasar raya utama di sekitar Padang Besar, Kangar, dan Arau sudah mula menjualnya,” kata beliau.
Razali memaklumkan perkara itu selepas melakukan tinjauan bekalan beras putih tempatan di Pasaraya Seri Utama Behor Pulai dan Pasaraya Karim di Titi Chai, di sini, pagi semalam.
Beliau turut mengingatkan bahawa beras tempatan ini bukan untuk dijual kepada peniaga, tetapi khas untuk masyarakat yang memerlukan, khususnya golongan B40.
“Saya juga berharap supaya bekalan beras tempatan akan terus memasuki pasaran secara berkekalan. Kerajaan negeri sentiasa mengatur mekanisme terbaik dari semasa ke semasa bagi mengatasi masalah bekalan yang tidak mencukupi,” tambahnya.
Turut hadir dalam tinjauan itu ialah Penguatkuasa Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Perlis, Mohd Fadel Jaini dan Hafizan Halim. – HARAKAHDAILY 4/3/2025












