
KUALA LUMPUR: Walaupun KWSP berfungsi sebagai simpanan hari tua, keadaan mendesak ketika ini perlu dilihat secara holistik bagi memastikan keperluan pencarum yang terjejas dapat dipertimbangkan tanpa menjejaskan jaminan masa depan mereka.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, ramai pencarum yang diberhentikan kerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap sedang berdepan kesukaran hidup, tetapi tidak dapat mengakses simpanan sendiri dalam KWSP.
“Ada yang terpaksa berhutang, menggadai rumah dan harta benda untuk meneruskan kehidupan.
“Dalam keadaan mendesak, adakah kerajaan wajar mempertimbangkan pengeluaran secara bersasar bagi membantu mereka?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab perkara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan memahami keluhan rakyat, namun dasar KWSP perlu dikekalkan sebagai simpanan hari tua bagi mengelakkan kesan negatif jangka panjang.
“KWSP telah menjelaskan bahawa majoriti pencarum, terutama masyarakat Melayu, mempunyai simpanan yang sangat kecil.
“Jika pengeluaran terlalu mudah dibenarkan, ia akan menimbulkan masalah di kemudian hari,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025











