Exco sampaikan Daurah Tafsir di Madinah Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menyampaikan Daurah Tafsir al Quran yang merupakan salah satu pengisian penganjuran Madinah Ramadan bagi tahun 2025.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail pada majlis itu semalam mengupas mengenai surah al Baqarah ayat 216 sehingga 264.

“Semoga dengan perkongsian ini kita dapat sama mengambil ilmu dan iktibar bagi menjadi pedoman dalam hidup. InsyaAllah,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook semalam.

ADUN Selising itu menyambung ‘Tafsir al Munir: Fiqh al Hayah’ (pedoman hidup dan hukum hakam) pada 10 Mac dan 14 Mac sesi pagi bermula sembilan pagi dan 19 Mac sesi petang bermula 11 pagi.

Beliau berkata, ayat tersebut membicarakan mengenai kepentingan jihad dalam kalangan umat Islam, selain menjadi satu kewajipan serta larangan arak dan judi kerana mudaratnya lebih besar.

Seterusnya ayat itu menekankan kepentingan memilih pasangan beriman dalam perkahwinan dan adab dalam hubungan suami isteri, serta tidak menjadikan sumpah sebagai halangan melakukan kebaikan.

Menjadi tradisi kerajaan negeri sejak awal pemerintahannya pada tahun 1990 memeriahkan sambutan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti berbentuk kerohanian memberi manfaat kepada rakyat.

Pada peringkat awal, Madinah Ramadan dikenali Qaryah Ramadan yang bertempat di dalam pusat bandar Kota Bharu sebelum berpindah pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV dengan wajah baharu.

Malah Madinah Ramadan dijadikan salah satu lokasi tarikan pelancongan ke Kelantan bagi menikmati kelainan dan suasana yang berbeza dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

- Advertisement -