
BALING: PAS Kawasan Baling merakamkan ucapan takziah atas pemergian seorang anggota Muslimat PAS, Wan Zahariah Wan Abdullah yang kembali ke rahmatullah, lewat petang semalam.
Yang Dipertua PAS Baling, Ustaz Hassan Saad berkata, pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kerana Allahyarhamah merupakan seorang yang aktif dan sentiasa hadir dalam setiap program.
“Saya dan seluruh ahli keluarga PAS Kawasan Baling sangat terkejut apabila dimaklumkan beliau telah meninggal dunia. Tengah hari semalam, beliau masih sempat hadir ke mesyuarat Halwa DUN Bayu di Kompleks Islam Bayu,” kata beliau.
Katanya lagi, Allahyarhamah kelihatan agak letih dan wajahnya pucat ketika menghadiri mesyuarat tengah hari semalam dan disuruh pulang untuk berehat.
“Tak sangka, pulang ke rumah untuk berehat tetapi rupa-rupanya pergi untuk selama-lamanya,” kata Ahli Parlimen Baling itu lagi.
Ujar Hassan, Allahyarhamah bukanlah dari kalangan keluarga yang senang, tetapi hati nuraninya yang mulia menjadi saksi akan kebaikan ditaburnya.
“Semoga Allah menempatnya di tempat yang mulia dan dikurniakan Al Firdaus Aa’la,” katanya lagi.
Wan Zahariah, 40, meninggal kira-kira jam 5:15 petang semalam ketika tidur, di kediamannya, Kampung Banggol Gelugor, Baling.
Beliau yang baharu sahaja dua minggu dibenarkan pulang ke rumah setelah menerima rawatan lima hari di Hospital Baling kerana komplikasi jantung.
Allahyarhamah merupakan Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) Dewan Muslimat PAS Baling, selain juga diberi amanah sebagai Ahli Jawatankuasa Keselamatan PAS Baling dan Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Bayu.
Anak kepada salah seorang as-Syahid Memali ini, juga memegang jawatan sebagai Ketua Muslimat Cawangan Tandop dan Ketua Keselamatan Halwa JPrD, Bayu.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Maajid At-Takwa, Bongor, pada jam 10 pagi tadi.
Allahyarham meninggalkan lima orang anak yang terdiri daripada tiga perempuan dan dua lelaki. – HARAKAHDAILY 3/3/2025











