Perlu pendekatan berfokus tangani isu pekerjaan OKU

Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu pekerjaan dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan pendekatan yang lebih berfokus bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam sektor pekerjaan.

- Advertisement -

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa khas atau memperkasa Jawatankuasa Pekerjaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKB OKU) supaya perancangan dan pelaksanaan dasar berkaitan pekerjaan golongan ini dapat dijalankan dengan lebih sistematik.

“Golongan OKU inilah golongan yang ditakdirkan oleh Allah SWT sifatnya tidak cukup sempurna. Jadi inilah ujian ataupun sebagai satu iktibar kepada kita yang sempurna ini untuk bagaimana membantu mereka supaya mereka dihargai dan juga kita terima apa yang Allah takdirkan kepada mereka.

“Memandangkan isu ini bukanlah sesuatu isu mudah dan saya fikir sangat kompleks kerana melibatkan kepelbagaian kategori OKU? Tidakkah pihak kerajaan berhasrat mengadakan satu jawatankuasa yang lebih berfokus bagi menangani isu pekerjaan di kalangan OKU ini?

“Namun saya berpandangan ia harus lebih diperkasa dan berfokus kepada golongan OKU ini yang mana mereka tidak minta dilahirkan begini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu OKU mendapatkan pekerjaan, termasuk latihan kemahiran dan persijilan di bawah sistem persijilan kemahiran Malaysia.

“Sejak 2020 hingga 2024, seramai 75,566 individu OKU telah menerima latihan dan berjaya memperoleh pekerjaan. Usaha ini turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, serta Kementerian Kesihatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2025

- Advertisement -