
AUCKLAND: Mahkamah Tinggi New Zealand hari ini, menutup kes terhadap pemilik kawasan gunung berapi yang pada 2019 dituduh memberikan pelancong akses ke gunung berapi itu yang meletus dan mengorbankan 22 orang serta mencederakan 25 orang lain.
Whakaari Management Limited yang memberikan kebenaran untuk melawat pulau itu, disabitkan kesalahan pada 2023 kerana melanggar kewajipan keselamatan dan diarah membayar ganti rugi AS$2.7 juta.
Bagaimanapun selepass rayuan, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa syarikat itu hanya memiliki tanah itu dan tidak bertanggungjawab ke atas keselamatan orang ramai.
White Island yang juga dikenali dengan nama Maori, Whakaari, adalah gunung berapi paling aktif di New Zealand dan meletus dalam beberapa bentuk sejak 2011.
Hakim Mahkamah Tinggi, Simon Moore memutuskan syarikat itu tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan pelancong di gunung berapi itu.
Beliau bersetuju bahawa adalah munasabah untuk syarikat itu bergantung kepada pengendali pelancongan, serta pengurusan kecemasan dan organisasi sains, untuk menilai risiko kepada keselamatan.
Hakim Moore menambah bahawa, dalam membuat keputusannya, beliau tidak mengabaikan kesakitan dan kesedihan keluarga yang telah terjejas.
“Adalah mustahil untuk tidak terharu dan terpengaruh dengan skala dan sifat kehilangan manusia dalam kes ini,” katanya – BBC NEWS











