
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sikap kerajaan yang dilihat tidak mengambil sebarang tindakan untuk merundingkan semula harga air mentah dijual kepada Singapura.
Menurut beliau, sejak pendedahannya mengenai kerugian berbilion ringgit dialami Johor dan Malaysia akibat penjualan air mentah kepada Singapura pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen, tiada usaha dilakukan kerajaan untuk memperjuangkan harga yang lebih adil.
“Apa yang berlaku selepas saya mendedahkan perkara ini hanyalah penyokong kerajaan mempertikaikan kegagalan saya untuk berunding ketika menjadi Perdana Menteri.
“Rekod kerajaan dan laporan media membuktikan bahawa saya pernah berusaha untuk mendapatkan harga lebih baik bagi air mentah yang dijual kepada republik itu.
“Walaupun dalam tempoh singkat saya menjadi Perdana Menteri Ketujuh terdapat rekod rundingan mengenai air yang diarahkan oleh saya.
“Menteri Luar Negeri ketika itu, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dan Peguam Negara, Tommy Thomas boleh mengesahkan perkara ini. Saya sendiri turut membangkitkan isu ini ketika bertemu Perdana Menteri Singapura secara rasmi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Beliau turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Hsien Loong bersetuju supaya isu ini dibincangkan antara pegawai kedua-dua negara.
Namun, Menteri Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan mempertikaikan keperluan rundingan tersebut ketika berucap di Parlimen Singapura.
“Hanya sekali seorang Timbalan Menteri Malaysia menjelaskan di Parlimen bahawa isu harga air tidak boleh dibincangkan kerana Singapura akan menaikkan harga air terawat yang dijual kepada Johor.
“Saya ingin menegaskan bahawa sebelum saya meletak jawatan, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana untuk Johor membina loji penapisan sendiri, supaya kita tidak perlu membeli air terawat dari Singapura.
“Saya tidak faham mengapa loji ini tidak dibina. Saya juga tidak faham mengapa Johor lebih rela membeli air terawat daripada Singapura pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen,” ujarnya.
Dr Mahathir dalam pada itu menegaskan bahawa hubungan baik dengan Singapura tidak akan terjejas hanya kerana Malaysia menuntut harga yang lebih adil bagi sumber airnya sendiri.
“Ya, Perdana Menteri Malaysia mahu hubungan baik dengan Singapura. Tetapi saya tidak fikir Singapura akan memutuskan hubungan hanya kerana kita meminta harga yang adil untuk air kita dan mahu memperoleh keuntungan daripada penjualan air mentah ke republik itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2025











