
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah tegas dalam penguatkuasaan syariah dengan melancarkan operasi khas dikenali sebagai Ops Supik Hitam bagi memastikan umat Islam di negeri itu menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, operasi itu diadakan bukan bermakna ramai rakyat Terengganu tidak berpuasa, sebaliknya ia menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam melaksanakan hukum syariah.
“Persepsi mungkin timbul seolah-olah ramai orang Terengganu tidak berpuasa, tetapi hakikatnya, kita nak beritahu bahawa kita serius dalam pelaksanaan syariah di negeri ini.
“Ini adalah kesinambungan daripada pelaksanaan hukuman sebat di luar penjara sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Bicara Khas Penguatkuasaan Dalam Islam Dan Pelancaran ‘Ops Supik Hitam’ bertempat di Dewan Auditorium, JHEAT, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Islam Negeri Terengganu, Zahari Sulong, Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abd Aziz.
Menurutnya, Ops Supik Hitam memberi fokus kepada penguatkuasaan terhadap individu Islam tidak berpuasa serta premis yang menjual makanan kepada mereka.
“Setakat ini, kita kenal pasti ada 33 premis di seluruh negeri dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan secara berperingkat. Langkah awal adalah memberikan nasihat selepas itu kita akan pantau dari masa ke semasa,” katanya.
Tambahnya, operasi berkenaan akan melibatkan seramai 91 anggota penguat kuasa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mengulas mengenai enakmen, Khalil berkata, Terengganu masih belum mempunyai enakmen khusus seperti di Kelantan yang memperuntukkan tindakan lebih ketat terhadap individu dan premis yang melanggar peraturan berpuasa.
“Apabila enakmen ini dimasukkan, maknanya kedudukannya akan menjadi lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperkasakan dari sudut penyelarasan antara agensi kerajaan, termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan.
“Contohnya, kalau kita nak ambil tindakan terhadap peniaga yang menjual makanan pada siang hari di bulan Ramadan, penguatkuasa agama boleh menangkap individu yang tidak berpuasa.
“Manakala tindakan terhadap premis pula akan dikendalikan oleh PBT. Jadi, penyelarasan antara kedua-dua pihak ini sangat penting,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2025











