
BALING: Hampir 12 tan sisa buangan dan sampah berjaya dikutip serta dikumpulkan pada program gotong-royong yang diadakan di persekitaran Medan Selera, Taman Desa Bidara, di sini kelmarin.
Empat tan daripada sisa buangan dan sampah tersebut adalah sisa kebun, manakala lapan tan lagi merupakan sisa longkang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria yang turut serta berkata, tujuan utama diadakan selain membersihkan kawasan sekitar, ia juga untuk memusnahkan pembiakan nyamuk terutamanya Aedes.
“Gotong-royong ini bukan sahaja mencantikkan suasana kedai dan persekitaran tetapi dapat mengelakkan penyakit denggi yang berpunca dari nyamuk Aedes dan lain-lain.
“Kebersihan juga separuh daripada iman, apatah lagi Ramadan hampir menemui kita sehari dua lagi,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil.
Dalam pada itu, Mansor juga menasihati orang ramai agar menjaga kebersihan dan membuang sampah di tempat yang disediakan.
Tegasnya, sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata atau di tempat yang tidak sepatutnya, bukan sahaja melambangkan keperibadian individu berkenaan.
Sebaliknya kata beliau, boleh mengundang pelbagai penyakit sama ada yang merebak melalui tikus, lalat, nyamuk dan lain-lain.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program gotong-royong ini, sama ada dari Pejabat Daerah, E-Idaman, Jabatan Amal Baling, para peniaga dan lain-lain,” tambah beliau lagi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahya. – HARAKAHDAILY 28/2/2025













