RM8 zakat fitrah Kelantan, galak ikut harga beras

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar zakat fitrah bagi negeri itu bagi tahun 1446H/2025M sebanyak RM8 seorang.

- Advertisement -

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kadar itu telah mendapat perkenan Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama Islam Negeri Kelantan.

“Walau bagaimanapun, individu yang ingin menunaikan zakat fitrah berdasarkan harga beras yang dimakan digalakkan untuk membayar pada kadar RM14 atau RM21,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu katanya, kadar Nisab Zakat Harta negeri Kelantan bagi tahun ini pula ditetapkan sebanyak RM29,376.00 bagi haul antara Ramadan 1446H hingga Ramadan 1447H.

Beliau turut memaklumkan bahawa pembayaran zakat boleh dilakukan melalui kaunter Baitulmal di masjid-masjid utama serta menerusi portal MAIK di zakat.e-maik.my.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam di negeri ini untuk menghayati Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah serta menunaikan zakat bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Semoga Ramadan kali ini membawa keberkatan serta kesejahteraan kepada semua umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2025

- Advertisement -