
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menerima serahan memorandum membantah penindasan Tanah Rizab Melayu (TRM) dan penolakan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) daripada penduduk Kampung Sungai Baru.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan berjuang bersama-sama penduduk yang dijamin oleh undang-undang dan Perlembagaan negara ini.
“Kita anggap himpunan kita ini bukan satu ‘illegal assembly’, ini adalah satu ‘legal assembly’. Perhimpunan yang sah dan dijamin oleh Perlembagaan. ‘Freedom of association, freedom of speech’. Itu yang kita nak.
“Kami nak menyatakan pendirian kami bahawa Perikatan Nasional akan memperjuangkan hak rakyat terutamanya orang yang menjadi penduduk asal satu-satu kawasan di dalam bandar,” tegasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian selepas menerima memorandum disampaikan ketua penduduk, Zainab Alias di hadapan pintu masuk Parlimen, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim serta Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail.
Tambah Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS, kerajaan dilihat menggunakan kelebihan majoriti di Dewan Rakyat untuk menindas kaum Bumiputera dan orang miskin di kawasan bandar.
“Mereka nak buat URA, mereka perlukan 112 (undi) sahaja. 112 ahli parlimen bersama mereka, boleh mereka membuat URA ini. Macam mana kita tentang pun, mereka akan buat.
“Oleh sebab itu, kami dalam Parlimen hanya mampu bercakap, mampu menentang, mampu mengkritik, mampu bagi cadangan.
“Kami hanya ada undi tak sampai ‘simple majority’. Jadi yang pentingnya ialah rakyat jelata. Kalau perlu rakyat turun ke jalan raya, kena turun. Kami akan bersama, inilah yang diajar oleh Perdana Menteri sekarang. Mereka lah yang dulu tidur atas jalan.
“Sekarang ini mereka menjadi kerajaan yang gagal, yang rosak untuk membela keadilan dan juga membiarkan kezaliman berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2025











