Kelantan bersiap selaku tuan rumah SUKMA 2028

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia berpuas hati terhadap persediaan dilakukan Kelantan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) bagi edisi ke 23 pada tahun 2028.

- Advertisement -

Ia merupakan antara kandungan pembentangan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhammad.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sedang melakukan persiapan rapi termasuk pembinaan Kompleks Sukan di Bukit Merbau atau dikenali Madinah Riadah.

“Saya melaporkan status terkini kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan di Bukit Merbau serta lain-lain persiapan negeri Kelantan untuk menjadi tuan rumah pada tahun 2028.

“Alhamdulillah mesyuarat telah berpuas hati dengan persiapan Kelantan dan pihak MSN akan mengeluarkan surat lantikan rasmi kepada Kelantan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Bil 12/2025 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini semalam.

Ia dipengerusikan Menterinya, Hannah Yeoh itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu berkata lagi, mesyuarat tersebut turut membicarakan pasca nilai SUKMA 21 Sarawak yang berlangsung 17 hingga 24 Ogos 2024.

Majlis dihadiri semua wakil kerajaan negeri itu turut dimaklumkan mengenai perkembangan dan persediaan Selangor dipilih sebagai tuan rumah SUKMA kali ke 22 pada tahun hadapan 2026.

“Semoga usaha ini akan berjaya meningkatkan lagi kemudahan sukan di Kelantan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan atlit berprestasi tinggi dari bumi Serambi Makkah.

“Terima kasih kepada semua dalam menjayakan agenda ini terutamanya, KBS dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri memberi sokongan padu jadi kenyataan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/2/2025

- Advertisement -