Ketidakpadanan pekerjaan graduan jadi kebimbangan

Nurul Amin Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan terus menjadi kebimbangan, kata Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap).

- Advertisement -

Ini, ujarnya apabila kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) tahun lalu mendapati satu pertiga graduan Malaysia memulakan kerjaya dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka. 

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah tersebut. 

“Apakah pihak kementerian ada inisiatif yang diberikan ataupun insentif yang diberikan kepada pihak majikan untuk menyelesaikan isu padanan pekerjaan bagi mahasiswa yang mengambil pekerjaan?” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau turut menyoal sama ada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengenal pasti jurang ketidakpadanan antara kelayakan graduan dan peluang pekerjaan, khususnya bagi lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan telah memastikan setiap program yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi selari dengan keperluan industri.

“Kita bekerjasama dengan Government-Industry TVET Collaboration Body (GITC) sebagai badan perantara bagi memastikan program yang ditawarkan bertepatan dengan keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata, usaha memastikan graduan memiliki kemahiran yang diperlukan bukan hanya tertumpu di peringkat universiti, tetapi juga merangkumi institusi TVET seperti politeknik dan kolej komuniti. – HARAKAHDAILY 26/2/2025

- Advertisement -