
KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mempertikai komposisi Majlis Penyeliaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dilihat tidak telus dan tidak mewakili pembangkang.
Beliau berkata, walaupun majlis itu sepatutnya dianggotai oleh enam wakil kerajaan dan enam wakil organisasi media, pelantikan pada 2023 hanya menyaksikan empat wakil kerajaan tanpa sebarang perwakilan daripada pembangkang.
“Dalam anggota Majlis Lembaga Pengelola juga, pelantikannya kebanyakannya dibuat oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (kini Kementerian Komunikasi) serta beberapa kementerian lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Luar dan wakil media arus perdana seperti NST, The Star, Sin Chew Daily, Sinar Harian, Borneo Post dan Daily Express.
“Namun, tidak ada seorang pun daripada pihak pembangkang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bernama (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar mana-mana anggota lembaga yang tidak lagi mempunyai hubungan dengan organisasi media yang diwakili, digugurkan secara automatik bagi mengelakkan ketidaktelusan dalam pelantikan.
“Saya cadangkan supaya pindaan ini dibuat agar jawatan tersebut terlucut secara automatik. Jika diberi pilihan, ia akan menjadi sukar kerana kita pernah lihat dalam parti Bersatu sendiri, ada ahli yang berpaling tadah tetapi enggan melepaskan jawatan,” tegasnya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan pelantikan seorang hakim sebagai Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama dan meminta kerajaan memberikan justifikasi terhadap keputusan itu.
“Majlis ini bertanggungjawab terhadap aduan, tetapi mengapa hakim yang sedang berkhidmat dilantik sebagai Yang Dipertua? Komposisi ini nampak tidak telus dan seperti dipilih secara terpilih,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Zulkifly juga menggesa kerajaan menyemak semula nama jawatan dalam kementerian yang berkaitan dengan Bernama bagi memastikan keselarasan dengan pindaan yang telah dibuat. – HARAKAHDAILY 26/2/2025











