Wujudkan aliran kemahiran di sekolah biasa

Tarik minat pelajar yang lemah akademik

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewajarnya memberi perhatian serius kepada perkembangan pembelajaran para pelajar yang hilang minat untuk meneruskan persekolahan walaupun usia mereka sepatutnya masih di bangku sekolah, bukannya mencari pekerjaan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, tidak semua pelajar mampu atau berminat ke arah akademik, memandangkan kebanyakan mereka yang bermasalah demikian adalah dari kalangan tidak boleh menguasai pembelajaran.

Ditambah pula katanya, sistem pendidikan negara yang digunakan hari ini tidak berubah sejak dilaksanakan puluhan tahun dahulu dan akhirnya menjana kegagalan kepada para pelajar lemah.

“Dari sudut peralatan mungkin berubah, dulu guna papan kapur, papan hitam, sekarang guna dah ada ‘white board’, tetapi bagaimana nak timbulkan minat pelajar.  Di sinilah kurikulum itu perlu dibangunkan berteraskan keperluan negara.

“(Iaitu) diolah dalam kerangka menarik minat anak-anak ini,” katanya menegaskan sepatutnya pelajar yang tidak minat kepada akademik, diberi ruang pendedahan untuk menerokai minat mereka di bidang kemahiran atau vokasional yang boleh dilaksanakan di sekolah harian.

Oleh itu katanya lagi, sekolah-sekolah harian biasa perlu diperkasakan dengan mewujudkan bahagian vokasional atau kemahiran untuk memberi peluang kepada pelajar lambat atau terbantut mendapat pendidikan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

“Kadang-kadang untuk kita difahamkan kemahiran ini, kerap kali kita sebut, pergi ke kolej vokasional. Tetapi kita kena ingat, kemasukannya ke kolej itu terhad. Jadi untuk menampung keperluan itu perlu dibangunkan segmen vokasional itu di sekolah harian.

“Boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Contoh dalam setahun tetapkan berapa sasaran, seperti 20 buah sekolah dibangunkan kurikulum berteraskan kemahiran. Anak-anak ini kita boleh lihat minat mereka dari sekolah rendah.

“Kalau mereka tidak ada kemampuan akademik sejak sekolah rendah lagi, mungkin ketika masuk ketingkatan satu, boleh terus bawa ke kemahiran,” tegasnya ketika ditemubual Harakahdaily.

Dalam pada itu, kurikulum tersebut juga katanya, boleh diberi peluang kepada para pelajar yang berada di tahap sederhana atau pertengahan, sama ada mereka mahu meneruskan pengajian dengan memilih bidang kemahiran.

Tambah beliau, sekiranya mereka memilih bidang akademik sehingga tingkatan tiga, tetapi didapati tidak mampu menguasai pembelajaran akademik dengan baik, pelajar tersebut boleh diberi peluang ke aliran kemahiran apabila naik ke tingkatan empat.

“Cara ini secara tidak langsung boleh mengubah hala tuju persekolahannya, mengikut kemampuannya,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra.

Beliau turut menegaskan, cabaran terbesar di sekolah kini antaranya gagal untuk memberi pilihan kepada para pelajar mengikut kesesuaian pencapaian mereka.

Sebagai contoh katanya, di peringkat sekolah rendah masih ramai pelajar yang tidak dapat menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) dengan baik dan keadaan tersebut memberi kesan apabila pelajar itu ke sekolah menengah.

Jelasnya, apabila mereka melangkah masuk ke sekolah menengah, pelajar ini akan mudah putus asa dan hilang semangat kerana tidak mampu bersaing serta menguasai akademik.

Semangat baharu

Apabila aliran kemahiran diwujudkan ujarnya, pelajar-pelajar yang mempunyai masalah seperti itu, boleh dimasukkan terus ke aliran tersebut dan ini mampu memberi semangat baharu kepada mereka melangkah ke alam sekolah menengah.

“Kalau dapat laksanakan seperti ini, para pelajar yang bermasalah akan minat ke sekolah. Kenapa kita hendak mereka ini ke sekolah. Sebab kita mahu memastikan, masa mereka diisi dengan perkara bermanfaat.

“Kalau mereka tidak di sekolah, di mana mereka pada hari tersebut. mungkin terlibat dengan perkara yang merosakkan diri, merugikan diri, dan lain-lain,” kata beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Seperkara lagi tegasnya, sekarang ini sudah ada pemikiran dalam kalangan pelajar yang berpandangan, bekerja lebih baik daripada bersekolah atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Kerana katanya, mereka berpendirian mudah mendapat wang, boleh berbelanja dan membeli segala yang dihajatkan, sedangkan situasi ini adalah satu perkara sangat-sangat membimbangkan.

“Pendapatan mereka yang kecil itu mungkin untuk diri mereka sendiri. Tetapi nanti apabila berkeluarga, di sinilah cabaran mereka kerana tiadanya ilmu pengetahuan atau kemahiran sukar mendapatkan pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang baik.

“Maka akhirnya mereka terperangkap dengan kehidupan yang susah dan menjadikan mereka golongan yang asnaf kerana kemiskinan dan sebagainya. Di sinilah perlu diberi penekanan agar masa mereka di sekolah menjadi satu kewajipan untuk mereka.

“Jadi untuk membolehkan mereka berminat ke sekolah itu perlulah diberi fokus oleh kerajaan untuk membuatkan sekolah itu menarik kepada mereka,” tambah beliau lagi.

Sementara ujar beliau, ibu bapa juga perlu memainkan peranan membantu serta memberi kerjasama memastikan anak-anak mendapatkan pendidikan terbaik dengan segala cara sekalipun.

Katanya, jangan meletakkan kemiskinan sebagai alasan, sedangkan ilmu pengetahuan, kepandaian dan kelayakan yang diperolehi oleh anak-anak akan membantu mengubah taraf hidup keluarga serta mengeluarkannya dari kepompong kemiskinan.

“Namun dalam masa anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk membantu serta memberi sokongan. Contohnya kalau pelajar itu mempunyai ibu bapa yang sakit, jiran-jiran pakat bantu tolong tengok-tengokkan sementara beliau ke sekolah.

“Dengan cara itu memberi peluang kepadanya untuk meneruskan persekolahan dan pelajarannya juga tidak terbantut. Di sinilah perlunya usaha untuk sama-sama menggerakkan komuniti agar saling bantu membantu,” katanya lagi.

Dalam pada itu ujarnya lagi, ibu bapa juga boleh menjadi pendorong yang kuat agar semangat anak-anak untuk belajar tidak hilang, selain memastikan mereka berdisplin dan bertanggungjawab dengan amanahnya sebagai pelajar.

“Kalau emak saya dahulu, dia akan panggil saya duduk di tepinya, dia akan ‘check’ buku-buku sekolah saya sebab nak pastikan kerja-kerja sekolah yang diberi oleh guru, saya dah siapkan ke belum.

“Kalau belum siap, dia akan suruh saya buat hingga selesai dan dia akan teman saya sambil buat kerja dia,” imbau Dr Haim.

Kadang-kadang katanya, ibu bapa terlalu memberi fokus kepada ekonomi keluarga, sehingga tidak ada masa untuk melihat perkembangan dan memantau pembelajaran anak-anak.

Kerana menurut beliau, masa banyak dihabiskan mencari rezeki, seperti dari pagi ke petang dan dari petang pula ke malam.

“Kita faham atas keperluan ekonomi keluarga yang terpaksa kedua-duanya bekerja atau ibu mengikut serta membantu ayah bekerja. Jadi anak-anak tiada sesiapa memantau di rumah, inilah harga yang perlu kita bayar.

“Kalau anak-anak itu mampu berdikari tak apa, tetapi kalau anak itu tidak mampu mendisiplinkan diri untuk belajar, kita dapat pendapatan ‘extra’ beberapa jumlah tertentu tetapi anak mungkin terabai.

“Jadi pendapatan yang baik diperolehi itu, tidak sama nilainya dengan seorang anak yang berjaya,” tegasnya.

Oleh itu nasihatnya, ibu bapa perlulah mencari ruang agar anak-anak mendapat pendidikan terbaik sebagaimana dilakukan oleh kaum lain di negara ini yang kebanyakan mereka begitu berdisiplin terhadap persekolahan dan pembelajaran anak-anak.

Sikap demikian katanya, telah memberi kekuatan kepada mereka untuk membina kejayaan terutama dalam konteks ekonomi apabila menjadi orang yang terpelajar. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

- Advertisement -