
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan semua pemegang taruh sebelum Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dibentangkan di Parlimen.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, menegaskan bahawa sepanjang rekod sidang Parlimen sebelum ini, tidak pernah ada perbincangan mengenai penggubalan akta baharu berkaitan pembaharuan bandar, sebaliknya hanya garis panduan diperkenalkan ketika pemerintahan PN.
“Saya menyangkal jawapan Perdana Menteri yang menyebut akta ini telah dibincangkan sejak 10 tahun lalu. Berdasarkan rekod hansard Parlimen, tidak ada satu pun merujuk kepada pembentukan akta baharu ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini. (Foto atas)
Jelasnya, ketika era pemerintahan PN, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan garis panduan pembaharuan semula bandar tanpa menyentuh soal had ambang persetujuan pemilik hartanah.
Namun, cadangan kerajaan kini untuk menurunkan had ambang persetujuan pemilik hartanah baik strata mahupun tanah persendirian, menjadi isu polemik dalam negara kerana ia berpotensi menjejaskan hak pemilik sedia ada.
“Kami mencadangkan sebelum RUU ini dibentangkan, satu jawatankuasa khas yang melibatkan kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan perlu ditubuhkan segera bagi membincangkan isu ini secara menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, PN sentiasa memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira kaum dan taraf ekonomi, dan sebarang keputusan mengenai pembangunan semula bandar perlu dibuat dengan teliti demi masa depan negara yang aman dan makmur. – HARAKAHDAILY 25/2/2025











