KBS sukar cari penaja kejohanan tempatan, antarabangsa

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta menyatakan langkah bagi menarik minat syarikat korporat untuk menaja kejohanan sukan peringkat tempatan dan antarabangsa.

- Advertisement -

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, beliau dimaklumkan mengenai kesukaran memperolehi tajaan seperti dihadapi oleh perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Selain itu beliau turut meminta menjelaskan mengenai usaha bagi meningkatkan peraturan kepada badan sukan di negara ini untuk menerima peruntukan daripada kerajaan melalui KBS.

“Minta KBS menyata strategi baharu dirangka untuk menarik minat syarikat korporat bagi menaja kejohanan tempatan dan antarabangsa dengan mengambilkira kesukaran dihadapi penganjuran LTdL.

“Dan usaha penambahbaikan berhubung garis panduan kepada persatuan sukan kebangsaan untuk menerima dana kerajaan,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawaban Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dalam jawapannya berkata, kerajaan melaksanakan pengecualian cukai kepada individu dan syarikat menaja sebanyak 10 peratus daripada purata pendapatannya.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi Akta Cukai Pendapatan 1967 atau Akta 53 terhadap mana-mana entiti yang membuat sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan atau peralatan sukan.

Selain itu pihaknya turut menyediakan pakej penajaan yang lebih fleksibel dan menarikan dengan pulangan yang jelas meliputi ruang penjenamaan melalui media sosial, televisyen dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

- Advertisement -