Kaedah membandingkan nilai

- Advertisement -

AKU masih ingat dulu, di waktu zaman reformasi sedang hebat melawan perasuah, pemimpin korup, zalim, maha zalim, maha firaun dan maha-maha sebagainya.

Mereka menggunakan teknik membandingkan berapakah nilai wang yang dibazirkan dan berapa banyakkah fasiliti atau bantuan yang sepatutnya boleh diagihkan kepada rakyat jelata.

Contohnya jika projek itu bernilai RM292 juta, sama nilai dengan stadium runtuh, maka kita akan bandingkan dengan wang sebanyak itu, kita boleh membina sebanyak 58 buah sekolah berharga RM5 juta.

- Advertisement -

Atau dengan kos sebanyak itu, kita boleh bina rumah kos rendah sebanyak 5,840 buah dengan nilai RM50,000 sebuah. Jadi dengan membuat perbandingan itu, rakyat akan melihat dengan lebih jelas pembaziran yang telah dilakukan oleh Umno-BN waktu itu.

Rakyat juga akan merasa marah kerana mereka memikirkan hak mereka telah dicabuli oleh pemerintah yang korup. Cara itu berhasil kerana jika rakyat hanya mendengar nilai dan jumlah, mereka terkadang tidak sedar berapakah pecahan nilai wang tersebut dengan kemudahan yang membawa lebih manfaat kepada mereka. 

Sekarang, kaedah yang sama juga boleh kita adaptasikan dengan beberapa perkara yang sesuai, demi menyedarkan rakyat berapakah perbelanjaan yang telah dilakukan oleh kerajaan dan bandingan dengan isu-isu semasa.

Contohnya dengan pendedahan perbelanjaan ke luar negara oleh pentadbiran Madani yang telah menelan belanja sebanyak RM44 juta dalam masa setahun, tahukah anda berapa nilai RM44 juta itu yang boleh kita bandingkan?

Dengan nilai RM44 juta itu, ia boleh memberikan deposit pencalonan kepada seramai 880 calon Presiden atau 1,257 orang calon Timbalan Presiden atau seramai 1760 individu calon Naib Presiden ataupun 4400 orang calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat dalam pemilihan PKR tahun ini.

Ini adalah lebih baik daripada kita berbelanja kepada lawatan yang terlalu tinggi kosnya itu kerana memilih kepimpinan yang terbaik adalah menjadi satu tindakan yang terbaik bagi membina negara yang lebih sejahtera.

Atau anda fikir bagaimana? Ada lagikah perbandingan yang lebih baik? 

Selamat mengundi sedagha-sedagha. Ingat kita ini asal dari parti deghita.

MOHD NASIR ABDULLAH
25 Februari 2025 – HARAKAHDAILY 25/2/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -