Apa tindakan kerajaan tangani isu pekerja kontrak PKS

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilihat lebih cenderung mengambil pekerja kontrak berbanding pekerja tetap, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai jaminan pekerjaan jangka panjang.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) meminta kerajaan menjelaskan langkah yang diambil bagi mengurangkan kebergantungan PKS terhadap pekerja kontrak serta memastikan lebih banyak peluang pekerjaan tetap ditawarkan.

“Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menyelesaikan isu syarikat PKS yang lebih suka mengambil pekerja kontrak daripada pekerja tetap,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut meminta kerajaan memperincikan insentif yang disediakan kepada syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang mungkin terpaksa beralih kepada e-dagang susulan kenaikan gaji minimum yang meningkatkan kos operasi.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan menyedari isu tersebut dan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau serta menyelaraskan pelaksanaan gaji minimum agar tidak membebankan syarikat kecil dan mikro.

Menurutnya, Kementerian Kewangan juga telah mengeluarkan surat kuasa bagi melaksanakan pelarasan harga kontrak kepada syarikat yang terlibat dalam sektor seperti perkhidmatan pembersihan dan pembekalan makanan.

“Pelaksanaan gaji minimum ini melibatkan 14 sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan ia dapat berjalan dengan lancar dan membantu syarikat kecil berdepan cabaran seperti peningkatan kos operasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

- Advertisement -