Tahap literasi pelajar keluarga B40 membimbangkan

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tahap penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid, terutama daripada keluarga B40 dan luar bandar masih berada pada tahap yang membimbangkan.

- Advertisement -

Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata Laporan Bank Dunia menunjukkan pelajar di Malaysia menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah, namun tahap penguasaan mereka hanya bersamaan 8.9 tahun sahaja.

Sehubungan itu, beliau ingin tahu adakah pihak kementerian merangka pendekatan yang unik mengikut kesesuaian lokaliti khususnya untuk meningkatkan literasi murid B40 yang belum menguasai kemahiran 3M di luar bandar.

“Ia termasuk pengubahsuaian kurikulum yang bersesuaian kerana dikatakan tahap silibus tahun satu adalah tinggi dan berat sehingga membebankan dan memberi tekanan kepada pelajar,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata kementerian telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan murid dari pelbagai latar belakang memperoleh akses pendidikan berkualiti.

“Kita telah berjaya memperbaiki kemahiran asas 3M dan telah membawa satu kesan ataupun efek yang positif kepada anak-anak kita menerusi pengesanan awal literasi dan numerasi,” katanya.

Ahmad dalam soalan asal meminta Menteri Pendidikan menyatakan cabaran utama yang dihadapi pihak sekolah dalam program intervensi pemulihan khas penguasaan kemahiran asas 3M ketika ini memandangkan tahap literasi pelajar yang masih rendah memasuki darjah satu. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

- Advertisement -