
KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) terus komited menyalurkan bantuan melalui misi ‘Ramadan For Yemen’ sebagai usaha menyantuni masyarakat Islam yang memerlukan bermula semalam hingga 2 Mac depan.
Pengarah PASRelief, Mohd Yusni Mat Piah berkata, seramai enam delegasi berlepas ke Yaman bagi menyampaikan sumbangan dan agihan pek makanan kepada rakyat Yaman yang terkesan akibat konflik dan krisis kemanusiaan berpanjangan.
“Misi ini bertujuan untuk memastikan mereka yang hidup dalam kesempitan akibat konflik perang saudara dapat merasai sedikit kelegaan menjelang Ramadan, bulan yang penuh keberkatan.
“Setiap pek makanan yang disalurkan adalah hasil daripada keprihatinan rakyat Malaysia yang terus menyokong usaha kemanusiaan ini.
“Kami mengharapkan doa dan sokongan daripada semua agar perjalanan delegasi ini dipermudahkan, dilindungi daripada sebarang kesulitan dan bantuan dapat disampaikan dengan selamat kepada mereka yang memerlukan.
“Doakan juga agar mereka yang hidup dalam khemah-khemah pelarian dapat kembali ke tempat asal dan menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya melalui media sosial.
PASRelief turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pimpinan PAS kerana memberi kepercayaan kepada mereka bagi menggerak dan meneruskan misi kemanusiaan di luar negara.
“Semoga setiap usaha ini menjadi saham akhirat bagi semua yang terlibat dan memberi manfaat kepada saudara kita di Yaman,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Pulau Pinang.
Turut serta dalam misi itu, ADUN Sungai Dua merangkap Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam.- HARAKAHDAILY 24/2/2025











