
KUALA LUMPUR: Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berkata, kerajaan mensasarkan 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi digital, khususnya dalam bidang sains data bagi industri pusat data, kata
Sehubungan itu, beliau membangkitkan persoalan mengenai perancangan Kementerian Digital bagi memastikan program pendidikan digital di Malaysia kekal relevan dengan keperluan industri serta usaha melibatkan lebih banyak syarikat teknologi dalam latihan dan peluang pekerjaan kepada graduan.
“Soalan saya, apakah perancangan kementerian untuk memastikan program pendidikan digital di Malaysia terus relevan dengan keperluan industri serta bagaimana kementerian merancang untuk melibatkan lebih banyak syarikat teknologi dalam latihan dan peluang pekerjaan kepada graduan?
“Misalnya kewujudan sekolah sains, komputer, rakan setara bagi menjadikan Malaysia sebagai hub digital serantau,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, bagi memastikan program pendidikan digital kekal relevan adalah aspek penting dalam pembangunan tenaga kerja negara.
“Kita lihat kepada keperluan industri dan kita semua sedia maklum bahawa bergerak ke depan teknologi akan menyediakan peluang-peluang yang baru.
“Dalam masa yang sama, ia juga menyediakan cabaran-cabaran yang perlu kita lalui dengan memastikan tenaga kerja kita bersedia untuk menampung keperluan ini,” katanya.
Dalam soalan asal, Roslan meminta Menteri Digital menyatakan sejauh mana penekanan diberikan terhadap pembangunan landskap bakat digital dengan kolaborasi syarikat teknologi dan startup (permulaan) misalnya projek sekolah pengkodan pertama di Malaysia yang dilancarkan dengan kerjasama MyDigital Corporation bagi memberi pendedahan kepada murid dalam bidang robotik, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI). – HARAKAHDAILY 24/2/2025











