
KUALA LUMPUR: Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) membangkitkan persoalan sama ada wujud rundingan atau kerjasama pertahanan dengan negara jiran bagi menangani ancaman keselamatan di perairan serantau yang menjadi kebimbangan negara.
“Apakah bentuk ancaman yang berlaku termasuk aktiviti pencerobohan, pencurian sumber laut dan mungkin juga penyeludupan,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kerajaan mengamalkan kaedah diplomasi pertahanan melalui rundingan dua hala dengan negara jiran seperti Indonesia dan Singapura serta hubungan pelbagai hala di peringkat serantau.
“Kita perlu pastikan zon maritim kita bebas untuk aktiviti ekonomi, terutama yang melibatkan minyak dan gas, perdagangan, serta pelancongan,” katanya.
Muhammad Ismi dalam soalan asal meminta Menteri Pertahanan menyatakan status perkembangan kesiapsiagaan kawalan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) bagi menangani ancaman pencerobohan dan aktiviti haram. – HARAKAHDAILY 24/2/2025











