Perdagangan global: Malaysia perlu tempatkan diri secara strategik

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam ‘perang perdagangan’ antara China dan Amerika Syarikat serta penyelesaian isu Laut China Selatan dibangkitkan Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Beliau menekankan kepentingan Malaysia dalam menempatkan diri secara strategik dalam perdagangan global, memandangkan nilai dagangan negara dengan Amerika Syarikat mencecah RM324 bilion.

“Bagaimana kita mahu memposisikan Malaysia dalam isu ekonomi dan politik ini? Selain itu, bagaimana persidangan ASEAN-GCC dan juga China dapat menyelesaikan isu kedaulatan Laut China Selatan yang merupakan aset perdagangan dunia,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Menjawab pertanyaan itu, Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan  berkata, Malaysia perlu memperluaskan pasaran dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tradisi.

“Kita mahu memastikan ASEAN berdiri sebagai blok yang tidak berpihak, tidak condong ke kiri atau ke kanan. Malaysia sebagai negara dagang utama perlu mengekalkan dasar berkecuali dan terus memperluaskan pasaran,” katanya.

Menyentuh isu Laut China Selatan, ujarnya, rundingan harus dilakukan melalui mekanisme ASEAN bagi mengelakkan kepentingan negara anggota terjejas akibat perundingan secara bersendirian. – HARAKAHDAILY 20/2/2025

- Advertisement -