
KUALA LUMPUR: Kadar kesuburan keseluruhan di Malaysia menunjukkan penurunan ketara daripada 2.1 pada 2010 kepada 1.7 pada 2023, kata Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh).
Ujarnya, antara faktor utama yang menyumbang kepada trend ini ialah tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutama di kawasan bandar.
“Adakah kerajaan telah merangka langkah yang lebih drastik untuk menangani cabaran demografi di sebalik tekanan kos sara hidup, serta apakah inisiatif kerajaan untuk menggalakkan saiz keluarga yang seimbang?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan kewangan bagi membantu pasangan yang berdepan kesukaran ekonomi untuk membesarkan anak.
“Sebagai contoh, jumlah peruntukan bagi bantuan awal persekolahan telah ditingkatkan kepada RM800 juta berbanding RM702 juta pada tahun sebelumnya.
“Selain itu, terdapat juga bantuan yuran pembelajaran bagi anak-anak autisme serta bantuan kepada sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Dalam soalan asal, Muhammad Fawwaz meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan langkah Kementerian untuk meningkatkan kadar kelahiran negara yang semakin menurun dan apakah inisiatif dalam menggalakkan rakyat agar menambahkan bilangan anak bagi mengelakkan masalah kadar kelahiran yang menurun. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











