
AYER KEROH: Pemuda PAN dilihat lebih berminat bermain politik murahan dengan mengugut mahu meletakkan pasu bunga jika Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak hadir ke debat yang dianjurkan mereka.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Melaka, Anas Abdullah berkata, PAN seharusnya menyelesaikan terlebih dahulu hubungan mereka bersama parti komponen iaitu DAP yang biadab terhadap Islam.
“Sejak dahulu, PAN dan DAP berpisah tiada. PAN seolah-olah sentiasa mengikut telunjuk DAP dalam setiap keputusan besar politik, dari zaman Pakatan Rakyat sehinggalah ke hari ini.
“Ketika PAS menegur DAP kerana sikap anti-Islam mereka, PAN seolah-olah menjadi perisai mempertahankan DAP. Ketika DAP menentukan calon Perdana Menteri, PAN tidak berbunyi. Ketika DAP mengubah keputusan, PAN juga akur tanpa bantahan.
“Maka, apakah nilai dialog bersama Pemuda PAN? Adakah DAP mempunyai kuasa hari ini jika mengarahkan mereka untuk membatalkan perbincangan, adakah mereka berani menolak?
“Kami tidak mahu berdebat dengan wakil yang tiada kuasa membuat keputusan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Anas, PAS sama sekali tidak berminat untuk membuang masa melayan sandiwara parti itu, sebaliknya mahu memberikan fokus kepada isu-isu rakyat yang jauh lebih mendesak.
“Isu kehilangan beras tempatan yang membebankan rakyat, isu BlackRock dan dominasi kapitalis asing ke atas ekonomi negara, isu harga lantai padi yang menyusahkan pesawah.
“Isu cadangan DAP untuk melantik Menteri Hal Ehwal Agama bukan-Islam, isu kebebasan bersuara yang semakin dicengkam, isu ketidakadilan pembahagian peruntukan kerajaan.
“Justeru, sebelum PAN mencabar kami untuk berdialog, sila selesaikan dahulu hubungan anda terhadap DAP. Selagi anda masih tidak berani dengan DAP, tidak ada gunanya berbicara soal masa depan Islam di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025











