
KUALA LUMPUR: Mekanisme mampan perlu diwujudkan bagi memastikan tiada keciciran data bagi pelajar yang memperoleh keputusan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) selepas tamat pengajian di tingkatan 5, terutamanya semasa pengisian borang Unit Pusat Universiti (UPU).
Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata, perubahan sistem pentaksiran di sekolah yang telah menimbulkan polemik, terutamanya selepas pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Perubahan ini, katanya, mencetuskan perbincangan dalam kalangan rakyat.
“Apa yang menarik perhatian saya adalah kombinasi keputusan pentaksiran tertentu yang melayakkan seseorang pelajar untuk menyambung pengajiannya ke menara gading. Untuk itu, calon-calon yang berkelayakan untuk ke IPT dikehendaki mengisi data PAJSK bagi lepasan SPM.
“Dalam hal ini saya ingin mengemukakan persoalan apakah mekanisma mampan bagi memastikan setiap pelajar yang memperolehi keputusan PAJSK selepas tamat pengajian di tingkatan 5 supaya isu keciciran data tidak berlaku sewaktu pengisian borang unit pusat universiti UPU.
“Apakah pihak KPM juga bercadang untuk menjadikan pentaksiran psikometrik sebagai sebahagian daripada kaedah meritokrasi untuk melayakkan para pelajar bagi menyambung pengajian ke IPTA.
“Terakhir apakah pentaksiran ini akan diteruskan di bawah Kurikulum Pendidikan (KP) 2027?” soalnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Fakhruddin juga mencadangkan agar komponen sahsiah dan akhlak dimasukkan dalam format pemarkahan PAJSK yang lebih jelas dan berstruktur, di samping komponen kecergasan fizikal, kokurikulum dan ekstra kurikulum.
“Ini kerana faktor akhlak dan sahsiah merupakan elemen penting yang akan membentuk peribadi insani selaras dengan anjakan ketiga yang tertulis di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu melahirkan rakyat Malaysia dengan nilai,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025











