
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa cadangan penubuhan kementerian khusus bagi agama bukan-Islam perlu diteliti secara mendalam dengan mengambil kira kepentingan keharmonian negara serta peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.
Pesuruhjayanya, Azhar Yahya berkata, kerajaan sepatutnya memperkukuh entiti sedia ada seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Kementerian Perpaduan Negara yang telahpun berperanan dalam menjaga keharmonian antara agama dan kaum.
“Dengan memantapkan fungsi serta memperluaskan skop jabatan dan kementerian ini, isu-isu yang melibatkan bukan Islam boleh ditangani tanpa perlu mewujudkan kementerian baharu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.
Beliau turut mempersoalkan sama ada cadangan itu benar-benar satu keperluan atau boleh diserapkan ke dalam kementerian sedia ada yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan.
“Langkah ini lebih efektif dalam menguruskan isu-isu kepelbagaian agama tanpa mencetuskan polemik yang tidak diingini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, manakala agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai.
“Jika kementerian ini diwujudkan atas dasar menuntut kesaksamaan dengan Islam secara mutlak, ia boleh menimbulkan persoalan mengenai kedudukan istimewa Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Oleh demikian, beliau percaya bahawa keharmonian antara agama dan kaum dapat dipelihara dengan lebih baik melalui pendekatan integrasi dan perpaduan nasional yang inklusif.
“Justeru, PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan agar kerajaan menumpukan usaha kepada memperkukuh peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Kementerian Perpaduan Negara bagi mencapai matlamat itu,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Yu Hui (PH-Raub) ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Namun, cadangan itu ditentang oleh majoriti kalangan pemimpin politik dan masyarakat, dengan sebahagian pihak menyatakan kebimbangan terhadap kesan terhadap struktur pentadbiran negara serta hubungan antara agama di Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/2/2025











