Provokasi bahaya, ancam perpaduan, agenda terancang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor membantah cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu khusus untuk Islam dan bukan-Islam.

- Advertisement -

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, ia provokasi berbahaya terhadap Islam dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3 yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Ahli Parlimen Raub seharusnya sedar bahawa sebenarnya sudah ada entiti yang berfungsi untuk menjaga hal ehwal bukan-Islam, iaitu Kementerian Perpaduan dan juga Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum.

“Jelas, alasan beliau agar perpaduan dalam kalangan rakyat diperkukuh serta memastikan tiada pihak terpinggir adalah sekadar alasan yang tidak berpijak di bumi nyata.

“Adakah Ahli Parlimen DAP Raub tidak meyakini kompetensi yang ada pada Menteri Perpaduan kini?” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Mohamed Sukri berkata, cadangan itu sebagai usaha halus untuk membawa agenda kesamarataan antara agama di negara ini.

Beliau berpendapat, penambahan satu lagi jawatan menteri khusus untuk bukan-Islam akan membawa implikasi kewangan dan memberi persepsi bahawa DAP cuba merombak kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

“Jika tidak diberikan perhatian khusus, cadangan sebegini sungguh mengancam perpaduan dan keharmonian yang telah kita kecapi di dalam negara majoriti umat Islam ini,” katanya.

Beliau berkata, kebiadaban pemimpin DAP menyentuh sensitiviti beragama di negara ini kian terserlah apabila mereka berkuasa.

“Keberanian DAP ini menunjukkan mereka benar-benar serius membawa agenda perjuangan mereka iaitu rangka kerja sekular yang memberi hak yang sama sebagaimana yang tercatat di dalam Perlembagaan DAP Fasal 2 Perkara 3.

“Apakah ini sekadar kebetulan atau sebuah agenda terancang yang sudah diatur sekian lama?” katanya.

Justeru, beliau bertegas agar semua pihak perlu menghormati prinsip-prinsip yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan demi keharmonian dan kemajmukan rakyat berbilang agama dan bangsa.

“Pemuda PAS Selangor akan terus istiqamah mempertahankan kedudukan Islam serta memastikan kepimpinan negara sentiasa dipandu oleh prinsip Islam yang adil dan saksama,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2025

- Advertisement -