
KANGAR: DAP kini dilihat semakin berani mengemukakan cadangan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, termasuk terbaharu untuk memisahkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada Islam dan bukan-Islam.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis, Nor Shahirah Mat Salleh berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, tidak masuk akal malah bakal menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Walaupun niat untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia dihargai, cadangan ini boleh membuka ruang kepada pelanggaran terhadap prinsip asas Perlembagaan,” ujarnya kepada Harakahdaily, di sini.
Menurut Nor Shahirah, perpaduan dan keharmonian antara kaum serta agama di Malaysia boleh dicapai melalui dialog yang konstruktif dan kerjasama erat tanpa perlu mengubah struktur yang telah lama terpelihara.
“Kami juga menyeru semua pihak agar menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, selari dengan peruntukan Perlembagaan, dan pada masa yang sama memastikan hak-hak penganut agama lain terus terpelihara,” ujarnya.
Justeru, pihaknya berharap agar sebarang cadangan melibatkan dasar negara dapat dibincangkan dalam forum yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
Beliau turut menegaskan bahawa PAS akan terus berperanan dalam mempertahankan kedudukan Islam serta memperjuangkan keharmonian rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. – HARAKAHDAILY 15/2/2025











