
PADANG SERAI: Seramai 400 pelajar menerima sumbangan ‘Back to School’ disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali di Dewan Prospek, Sidam Kanan, di sini semalam.
Dato’ Siti Ashah pada ucapannya berkata, sumbangan itu selain membantu meringan bebanan keluarga, ia juga menjadi perangsang kepada penerima untuk memulakan sesi persekolahan 2025, 16 Februari ini.
“Ilmu adalah keperluan untuk setiap individu sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi. Keperluan menuntut ilmu ini disebut oleh Saidina Ali bahawa ilmu itu akan menjaga kita, berbeza dengan harta, kita yang kena jaga dia,” katanya.
Justeru ujarnya, sumbangan untuk membeli peralatan persekolahan yang baharu ini secara tidak langsung melonjakkan semangat para pelajar untuk ke sekolah.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut mengingatkan hadirin bahawa orang yang banyak harta selalunya akan ramai musuh berbeza orang berilmu, mereka akan disukai, disayangi serta ramai sahabat.
“Harta boleh berkurang, ilmu makin bertambah bila berkongsi atau diajar kepada orang lain. Semoga para ibu bapa serta waris dapat memberi ruang seluas-luasnya kepada anak-anak untuk menuntut ilmu dan mengutamakan pendidikan,” nasihatnya lagi.
Sungguhpun demikian katanya, setinggi mana pun seseorang itu menuntut ilmu, jangan sesekali membiarkan diri menjadi ‘pengejar dunia’
“Kejar dunia, dunia yang kita dapat tetapi kalau kita kejar akhirat, dunia dapat, akhirat pun dapat,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan program hari ini.
Terutama katanya para penyumbang, antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kulim Hi-Tech, Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 15/2/2025











