
KUALA LUMPUR: Isu keluarga, keseimbangan kehidupan-kerjaya dan pembangunan populasi perlu menjadi keutamaan dalam dasar negara bagi memastikan masyarakat yang lebih lestari dan sejahtera.
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, keluarga masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat tekanan ekonomi, perubahan sosial, gangguan teknologi, serta peralihan demografi yang pesat.
Beliau berucap demikian pada Forum Ahli Parlimen Asia mengenai Penduduk dan Pembangunan (AFPPD) Malaysia 2025 yang berlangsung di Bangunan Utama, Parlimen, di sini semalam.
Forum itu menghimpunkan Ahli Parlimen, pegawai kerajaan, penggubal dasar, pakar industri, akademia dan pemimpin masyarakat sivil dalam membincangkan pendekatan holistik bagi menyokong institusi keluarga.
Selain itu, penganjurannya juga bertujuan bagi menyesuaikan tanggungjawab profesional dengan keperluan peribadi, serta memastikan pertumbuhan populasi yang mampan.
“Institusi keluarga sedang diuji dalam dunia moden. Dasar yang digubal perlu bersifat proaktif dengan mengintegrasikan nilai kekeluargaan dalam rancangan pembangunan negara.
“Forum ini telah memperkukuh tanggungjawab kolektif kita untuk membangunkan sistem sokongan yang lebih mantap bagi memperkasa keluarga, pekerja, serta generasi akan datang,” katanya selaku Pengerusi Kluster Wanita AFPPD Malaysia.
Turut hadir Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato’ Dr Noraini Ahmad serta Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.
Juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Terengganu, Zuraida Md Noor dan ADUN Permatang, Selangor, Nurul Syazwani Noh serta Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam dan ramai lagi.
Menurut Dr Halimah forum itu hanyalah langkah awal, dan komitmen semua pihak diperlukan bagi memastikan resolusi dihasilkan diterjemah dalam bentuk tindakan nyata yang memberi impak jangka panjang kepada masyarakat.
“Perbincangan ini amat bernilai, tetapi usaha kita tidak boleh berhenti di sini. Kita mesti memastikan resolusi dilaksanakan melalui dasar yang kukuh dan berkesan,” katanya.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr) Johari Abdul dalam ucapan perasmiannya terdahulu menekankan kepentingan institusi keluarga dalam pembangunan negara.
Johari turut menggesa agar pelaksanaan dasar yang berteraskan bukti, bagi memastikan kestabilan keluarga, kesaksamaan gender dan daya tahan ekonomi.
Forum tersebut berjaya merumuskan beberapa resolusi strategik bagi memperkukuh institusi keluarga serta keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya. – HARAKAHDAILY 15/2/2025











