Kerajaan Kelantan mahu media jadi cahaya, bukan api

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa media bukan sekadar melaporkan berita, tetapi turut membentuk pemikiran dan persepsi rakyat.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, di tengah dunia yang penuh dengan maklumat bercampur-aduk, media perlu menjadi cahaya menerangi, bukan api membakar.

“Setiap berita yang disampaikan harus membina, bukan meruntuhkan. Setiap laporan harus mendidik, bukan menghasut,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Media yang dianjurkan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan.

Majlis tersebut menghimpunkan lebih 100 pengamal media dalam sesi dialog bersama kepimpinan kerajaan negeri, di sini kelmarin.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan media dalam usaha menyampaikan maklumat yang benar dan membina.

Katanya, hubungan yang baik antara kerajaan dan media perlu terus diperkukuh kerana peranan kedua-duanya adalah untuk rakyat demi kemajuan negeri.

“Terima kasih kepada semua pengamal media yang hadir dan sudi bersama kami dalam majlis ini. Semoga ukhuwah ini terus erat demi Kelantan yang lebih sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2025

- Advertisement -