
SHAH ALAM: PAS Selangor mengecam keras saranan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang boleh mengundang huru-hara dalam negara.
Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad menegaskan, cadangan tersebut berpotensi mencetuskan ketegangan antara penganut agama bukan-Islam, terutamanya dalam isu pemilihan calon menteri, memandangkan kepelbagaian agama dan amalan di Malaysia.
“Sebelum ini, walaupun amalan, kepercayaan dan budaya dalam setiap bangsa dan agama di negara ini sangat berbeza, namun rakyatnya telah hidup aman dan harmoni di bawah naungan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Zurk mengingatkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, sambil menjamin kebebasan beragama untuk semua di bawah Perkara 11.
Beliau menegaskan bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang boleh dijadikan asas kepada cadangan Ahli Parlimen DAP tersebut.
“Jangan cabar kesabaran umat Islam dalam negara ini. Jangan jolok sarang tebuan. Jangan ulangi peristiwa hitam yang hanya akan mencetuskan suasana huru-hara antara kaum dalam negara kita. Jangan sampai negara ini berdarah sekali lagi!” tegasnya.
Beliau turut menambah bahawa Jawatankuasa Hubungan dan Persatuan Agama yang sedia ada sudah mencukupi, dan tidak timbul keperluan melantik menteri khusus yang juga akan melibatkan implikasi kewangan kepada negara.
Zurk menyeru pemimpin Melayu-Islam di negara ini untuk bermuhasabah, menyatakan bahawa keberanian yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Raub untuk mengubah struktur dan hala tuju negara sangat membimbangkan.
“Kukuhkanlah kedudukan dan pengaruh kuasa politik Melayu dan Islam, insya-Allah negara ini akan harmoni dan selamat,” katanya.
Sebelum ini, PAS Selangor juga telah meminta DAP supaya berhenti mencampuri urusan akidah umat Islam, khususnya berkaitan garis panduan pembabitan orang Islam dalam upacara di rumah ibadat bukan-Islam.
Zurk Ahmad menegaskan bahawa garis panduan tersebut penting bagi menjaga kemaslahatan masyarakat dan mengelakkan salah faham.
Beliau menekankan bahawa Islam adalah agama yang meraikan kepelbagaian kaum dan agama, serta mengharamkan umatnya untuk berlaku zalim termasuk kepada mereka yang bukan Islam.
“Jangan takut kepada Islam dan syariatnya,” ujarnya susulan Chow mencadangjan pemisahan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama kepada dua, iaitu khusus untuk Islam dan bukan-Islam, kelmarin.
Beliau mendakwa kononnya pemisahan itu akan membolehkan perbincangan lebih mendalam dan mengelakkan kontroversi yang tidak diingini, seperti isu garis panduan kehadiran umat Islam dalam perayaan bukan-Islam.
Cadangan itu timbul selepas kontroversi berkaitan garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang akhirnya diputuskan oleh Kabinet untuk tidak diteruskan. – HARAKAHDAILY 14/2/2025











