
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sehingga kini melangsungkan tadbir urus dengan baik dan adil kepada semua rakyat.
Bekas Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Dato’ Ali Yahaya berkata, Umno akan menghadapi laluan sukar sekiranya berhasrat merampas Kedah dari tangan Perikatan Nasional (PN).
“Saya perhati, memang Umno Kedah ni dok pulun (bersungguh) kononnya nak ambil Kedah ni dari tangan PAS dan PN. Tapi pulun depa (mereka) tu…tak kena gaya. Konon nak bongkaq (bongkar).
“Isu apa? Kalau perkara yang depa nak bongkaq tu, orang tak tau, tak apalah. Ni…apa yang depa cakap tu, memang sudah diketahui umum. Jadi nak bongkaq apa lagi?” soalnya.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, berkata demikian ketika ditemubual oleh Ketua Penerangan PAS Sungai Petani, Azhar Zakaria secara disiarkan melalui aplikasi Tik Tok, di sini.
Umno ujarnya, tidak perlu terlalu yakin Kedah boleh beralih kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
Sebaliknya tegas beliau, kemungkinan PN boleh ‘sapu bersih’ kesemua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 parlimen di negeri ini, pada PRU akan datang.
“Umno ka, PH ka atau PH-BN ka, saya yakin tak boleh kembali menjadi kerajaan di Kedah. Kerusi (DUN) mana yang depa target nak menang? Saya tanya kawan-kawan saya dalam Umno, depa pun tak boleh jawab,” tambah beliau lagi.
Lagipun, adalah agak mustahil tegasnya, dengan majoriti yang mencecah lebih daripada 20,000 undi yang diperolehi PN pada PRN15 lalu, memungkinkan kerusi berkenaan mudah-mudah jatuh ke tangan PH.
“Bukan sahaja untuk ambil balik, nak kurangkan majoriti kalau sebanyak itu, pun agak sukar. Ditambah dengan sikap dan pelbagai ‘kerenah’ pemimpin sebelah sana (Umno).
“Ditambah tiada isu yang dicetuskan oleh PAS dan PN, bagi saya PN boleh belayar dengan elok,” tegas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau turut musykil dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno kini ditadbir oleh kepimpinan baharu yang lebih berwibawa.
“Mana ada yang baharu, orang itulah jugalah dari awal 2001 hinggalah sekarang,” bidas Dato’ Ali pernah menjadi ADUN Pantai Merdeka selama satu penggal iaitu bermula 2013 hingga 2018 atas tiket BN.
Walaupun penglibatan beliau bersama Umno agak lama, namun beliau bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai PAS hampir tiga tahun lalu. – HARAKAHDAILY 13/2/2025











