
KUALA LUMPUR: Dominasi 40 kerusi DAP dalam kerajaan telah membuatkan parti itu ‘besar kepala’ dan merasakan mereka boleh berkata dalam apa sahaja isu termasuk yang melibatkan hal ehwal dan kepentingan Islam.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berkata, hak dan kepentingan umat Islam adalah urusan umat Islam dan tidak seharusnya dicampuri oleh pihak luar.
“Inilah masalah DAP hari ini yang berjuang untuk mempertahankan Perlembagaan Negara sebagai perlembagaan ‘sekular’.
“Mohon sedar dan insaflah semua umat Melayu dari kampung hingga ke bandar, jangan sampai terhakis, tergadai segalanya lantaran kecuaian dan kealpaan kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu menegur tiga Ahli Parlimen bukan-Muslim DAP yang dikatakan galak ‘bertelagah’ dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat dalam isu melibatkan akidah umat Islam.
“Kubang Kerian ini satu waktu dahulu merupakan ahli panel Forum Ehwal Islam, forum agama yang ditonton dan menjadi rujukan umat Melayu dari kampung hingga ke bandar.
“Sebagai lulusan agama, bekas pensyarah Islam di IPTA pula beliau punya ‘authority’ bercakap berkenaan Islam dan akidah penganutnya, apatah lagi beliau mewakili suara umat Islam selaku MP parti Melayu-Islam yang terbesar di Parlimen,” ujarnya.
Isu garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan kehadiran umat Islam ke majlis perayaan bukan-Islam menghangatkan sesi Parlimen semalam.
Tuan Ibrahim dalam celahannya berkata, garis panduan yang dikeluarkan itu adalah khas untuk orang Islam sahaja.
“Garis panduan ini untuk orang Islam kerana ada perkara membabitkan keagamaan yang tidak dibenarkan. Ini bukan oleh parti politik dan sudah lama ditentukan.
“Ini untuk mengelak perkara yang boleh merosak akidah orang Islam. Menghadiri upacara keagamaan, selain upacara keagamaan, tiada masalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025











