
KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), menegaskan kepentingan memperkukuh penguasaan Bahasa Malaysia dalam bidang guaman.
Beliau meminta kerajaan menjelaskan sama ada terdapat langkah khusus bagi memastikan peguam cara dan peguam bela di negara ini mahir menggunakan bahasa kebangsaan dalam amalan guaman mereka.
“Ada tak apa-apa pelan kerajaan dalam untuk memperkasa penguasaan Bahasa Malaysia kepada mereka yang ingin beramal sebagai peguam cara dan peguam bela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, beliau turut meminta penjelasan kerajaan berhubung cadangan pengenalan sistem penilaian baharu bagi kelayakan guaman yang dikatakan bakal menggantikan Certificate in Legal Practice (CLP).
Beliau mempersoalkan sama ada pelaksanaan Common Bar Course (CBC) dan Common Bar Examination (CBE) akan menyebabkan CLP dihapuskan sepenuhnya, sekali gus memperkenalkan silibus baharu bagi kelayakan peguam di negara ini.
“Kalau kita perkenalkan CBC CBE ni bermakna silibus CLP sebelum ini maknanya memang tak baiklah seolah macam itu. Ini pertanyaan saya okey bermakna kalau diperkenalkan CBE CBC bermakna CLP akan terhapus dengan sendiri. Akan ada silibus baru.
“Jadi maknanya kita dapat daripada pandangan, pandangan masyarakat awam kita kata cakap tadi kan saya nak tahu adakah pandangan keseluruhan masyarakat awam ataupun mereka yang tertentu sahaja yang tak lulus peperiksaan daripada mereka daripada universiti-universiti tempatan dan sebagainya, itu yang, yang saya ingin tahu,” soalnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V.Murugeson dalam jawapannya berkata, Bahasa Malaysia tetap diutamakan dalam prosiding mahkamah, tetapi penguasaan bahasa Inggeris juga penting kerana kebanyakan rujukan dan preseden adalah dalam bahasa tersebut.
Beliau berkata, syarat fasih Bahasa Malaysia bagi peguam sudah dilaksanakan, termasuk keperluan kredit SPM, bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan tidak diabaikan. – HARAKAHDAILY 12/2/2025











