Pejabat Cinta Gaza Malaysia di Gaza turut musnah

- Advertisement -

SELAYANG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mendedahkan bahawa rumah dan pejabat pertubuhannya di Gaza telah musnah sepenuhnya akibat serangan Israel baru-baru ini. 

Dalam satu ucapan yang disampaikan buat pertama kali kepada umum, Nadir berkongsi pengalaman mendalam mengenai keadaan bangunan yang musnah tetapi menjadi simbol perjuangan rakyat Palestin. 

“Dinding sudah tidak ada, atapnya sudah tiada, tingkap terbuka seluas-luasnya kerana dibom keseluruhannya. Apabila pasukan kami dihantar untuk meninjau keadaan rumah dan pejabat tersebut, mereka menyampaikan gambar dan video dalam keadaan bertakbir serta bersorak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Pakej Mantop Travels & Tours 2025 di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Mantop Travel & Tours, Ustaz Mohd Farhan Madzlan; Pengerusi Mantop Travel & Tours, Zaidy Abdul Talib dan Duta Syarikat Mantop Travel & Tours, Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin.
 
Juga Ahli Lembaga Pengarah Mantop Travel & Tours, Ustaz Mohd Fauzan Madzlan dan Naib Setiausaha One Nation, Ubaid Abdul Akla.

Nadir melahirkan rasa terkejut apabila mendapat tahu rumah dan pejabat yang terletak dalam satu bangunan itu telah dijadikan kubu oleh para mujahidin. 

“Rupanya pejabat kami digunakan oleh para mujahidin sebagai kubu. Di tengah-tengah rumah kami, Allah campakkan satu replika ikon kemenangan ke atas Zionis Israel — enjin sebuah kereta kebal yang diledakkan oleh mujahidin dari tingkap rumah kami.

“Enjin itu melayang dan mendarat di atas katil tempat kami tidur selama ini,” katanya penuh emosi dan turut menambah ketika proses pembersihan dilakukan, bau wangi yang dikaitkan dengan para syuhada masih dapat dirasai.

Malah jelasnya, pasukan yang membersihkan kawasan tersebut turut menemui anggota tubuh badan para Mujahidin yang gugur dalam pertempuran mempertahankan bumi Palestin. 

“Dua tiga hari lepas mereka membersihkan rumah tuan-tuan dan puan-puan. Mereka ceritakan bagaimana rumah kami alhamdulillah bau dengan bau para syuhada.

“Dan mereka gali untuk bersihkan dinding rumah yang telah musnah, jumpa di bawah ni, anggota tubuh badan manusia. Tangan para Mujahidin yang begitu suci, yang digunakan untuk mempertahankan bumi Palestin,” jelasnya.

Nadir turut menyatakan bahawa meskipun pejabat Cinta Gaza Malaysia kini tidak dapat lagi beroperasi di lokasi tersebut, mereka tetap komited untuk meneruskan misi bantuan dan perjuangan bagi rakyat Palestin yang memerlukan sokongan. 

Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kemenangan Palestin serta memberikan sumbangan berterusan bagi membantu mangsa yang terkesan. 

Beliau menjelaskan bahawa sejak peperangan bermula pada 7 Oktober, Cinta Gaza Malaysia telah aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan jumlah melebihi RM30 juta.


“Kita tak ada masalah untuk menyampaikan bantuan kita yang kita salurkan kepada rakyat Palestin. Sama ada dengan kaedah pertama yang kita gunakan sejak daripada awal perang iaitu dengan kita membeli barangan daripada dalam bumi Gaza.

“Sebab kita tahu sempadan ditutup untuk barang bantuan masuk. Tetapi masih lagi dibenarkan untuk masuk barang dagangan dengan sebab Mesir dan sebagainya memerlukan duit cukai tersebut. Jadi kita beli barangan dalam bumi Gaza.

“Pada masa yang sama, dengan kerjasama strategik beberapa pihak ada bantuan yang boleh masuk ke dalam bumi Gaza, contohnya minggu lepas saya berada di Jordan.

“Kita melancarkan 16 trak bantuan yang kita akan hantar masuk ke dalam bumi Gaza dengan nilai bantuan RM2.2 juta. Dan  insya-Allah  akan masuk ke bumi Gaza dalam masa dua tiga hari ini dengan kerjasama daripada kerajaan Jordan lah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -
- Advertisement -