Cadang MBK tubuh pasukan khas tangani anjing liar

- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu menggesa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menubuhkan pasukan khas bagi menangani isu anjing liar yang semakin berlarutan di daerah ini. 

- Advertisement -

Menurutnya, masalah anjing liar bukan sahaja semakin membiak, malah telah menjadi ancaman keselamatan kepada penduduk, terutama kanak-kanak dan warga emas. 

“Jika melantik syarikat swasta satu pilihan yang baik, maka ia perlu dilakukan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Andansura berkata, semalam beliau telah bertemu dengan beberapa orang penduduk di Air Putih yang berdepan isu tersebut dan mereka ceritakan beberapa kejadian serangan anjing liar kepada ahli-ahli kejiranan.

“Salah seorang daripada mereka terlibat dalam satu kejadian kira-kira setahun lalu. Hari ini, dua kejadian seumpama berlaku lagi dalam tempoh seminggu,” katanya.

Beliau memaklumkan turut menerima dua aduan lain dalam minggu ini, termasuk kes yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun. 

“Sejak setahun lalu aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa, namun mereka tidak pasti apa tindakan yang telah diambil setakat ini. Apa yg pasti, kumpulan anjing tersebut kini semakin membiak dan banyak,” katanya.

Kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, isu anjing liar turut dibangkitkan dalam mesyuarat pembangunan daerah yang melibatkan pelbagai agensi negeri dan persekutuan. 

“Malah ia isu yang diperakui oleh majoriti wakil kawasan daripada seluruh daerah. Justeru itu, sudah sampai masanya pihak berkuasa melihat isu ini dengan lebih serius,” katanya.

Beliau juga berharap kumpulan pencinta haiwan dapat tampil memberikan cadangan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencari penyelesaian yang terbaik. 

“Pihak saya sedia memberikan kerjasama dalam kapasiti yang ada bagi memastikan isu ini dapat diuruskan dengan berkesan demi kesejahteraan awam,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -