NGO bakal adakan Himpunan pertahan Titah Adendum

Mohd Zai (tengah berbaju putih) di samping beberapa pimpinan NGO
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Himpunan Solidariti Taat Setia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan diadakan dalam masa terdekat berhubung Titah Adendum terhadap mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, himpunan itu juga diadakan antara lainnya bagi mempertahankan institusi diraja, di samping penyatuan kuasa dan orang-orang Melayu di negara ini.

“Ini adalah untuk kita bersolidariti Kebawah Duli Tuanku yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong, untuk bahawa titah itu mestilah diletakkan di satu tahap yang tidak boleh dicabar di peringkat mahkamah,” katanya dalam sidang media NGO Melayu-Islam di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali danPengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama dan Negara, Ustaz Masridzi Sat.

Juga Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Tambah beliau, tindakan kerajaan yang dilihat cuba untuk menyembunyikan fakta sebenar titah tersebut merupakan satu cubaan untuk menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Untuk terus menafikan, menyembunyikan dan menyanggah Titah Adendum ini di dalam pemfailan kepada Mahkamah Persekutuan, itu kita anggap sebagai satu cubaan menderhaka kepada titah tersebut.

“Kerajaan sepatutnya memperakui keputusan bahawa titah tersebut memang telah diserahkan kepada Peguam Negara oleh Yang di-Pertuan Agong. Cuma bagaimana nak dilaksanakan, itu terserah kepada pihak kerajaan,” katanya.

Himpunan berkenaan dikatakan akan dibuat di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan dalam satu tarikh dan lokasi yang akan dimaklumkan kelak ekoran kerajaan dilihat cuba untuk menyembunyikan fakta sebenar di sebalik Titah Adendum berkenaan.

Ia selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 6 Januari lalu membenarkan Najib untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Keputusan yang dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 itu merupakan satu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah yang dikeluarkan pada Januari tahun lalu. – HARAKAHDAILY 11/2/2025

- Advertisement -