Tidak salah untuk adakan pilihan raya mengejut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak salah untuk mengadakan pilihan raya secara mengejut dan tidak salah untuk mana-mana kerajaan bertukar kerana ia dibenarkan di dalam Perlembagaan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan seseorang itu layak menjadi Perdana Menteri apabila mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Kalau undang-undang membenarkan seorang Perdana Menteri itu untuk hilang keyakinannya dengan majoriti dalam parlimen, maka undang-undang dan Perlembagaan membenarkan kerajaan itu bertukar.

“Pemahaman salah di kaca mata masyarakat dan penyokong-penyokong kerajaan selalunya adalah bahawa Perdana Menteri itu hanya boleh dipilih melalui pilihan raya. Itu adalah satu option pemilihan Perdana Menteri.

“Satu lagi option pemilihan adalah apabila seseorang Perdana Menteri itu hilang keyakinan atau hilang ‘support of the majority’, dan apabila ia berlaku, Perdana Menteri mestilah meletakkan jawatannya termasuk jemaah menteri.

“Kecuali Perdana Menteri dapat meyakinkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Juga Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama dan Negara, Ustaz Masridzi Sat dan Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Beliau dalam pada itu menangkis dakwaan pihak yang tidak bersetuju supaya kerajaan bertukar hanya disebabkan beberapa faktor di dalam negara.

“Kepada sesiapa sahaja di luar sana yang menyatakan bahawa tak usahlah tukar kerajaan kerana ekonomi sedang baik, hutang negara sedang menguncup, kestabilan politik, orang Melayu dan agama Islam terjaga dan Perdana Menteri perlukan masa untuk memperbetulkan keadaan.

“Ini semua adalah pemahaman-pemahaman yang salah dari segi undang-undang. Rakyat Malaysia kena faham menukar Perdana Menteri ini boleh dilakukan menurut Perlembagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2025

- Advertisement -