
“HIDUP kita ini, walau kita anak seni biarlah kita mati nanti, berakhir dengan kita dalam Islam atau mukmin. Kita nak apa pengakhiran nanti, kita nak syurga Allah. Maka usah biarkan apa yang kita lakukan ini berakhir dengan kita ke neraka”
Demikian konklusi kepada seluruh intipati kupasan demi kupasan oleh pendakwah tersohor, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani semasa wacana Seni Berkiblat sempena Himpunan Anak Seni 2025 yang dianjurkan Lestari Pusat dengan kerjasama Muslim Care Malaysia Society bertempat di Espira Kinrara Resorts pada 9 Februari.
Hadir memeriahkan himpunan, Ustaz Ahmad Dusuki membuka kalung bicara dengan memberi definisi dan sejarah hiburan atau seni sejak zaman Baginda dan para Sahabat Rasulullah SAW.
Jauh dari doktrin mengenepikan hiburan, sebenarnya menurut pendakwah tersohor ini, hiburan jika ia berkiblat, maka ia jua adalah jalan menuju kepada Dia yang Esa.
Dengan kemahiran dan kesedaran yang ada kepada anak seni sebagai ‘proksi’ rakyat dalam dunia seni dan hiburan, seharusnya mereka menjadi duta masyarakat membawa dogma seni berkiblat ini dalam usaha menjauhkan masyarakat dari acuan hiburan barat yang bertunjang liberal.
Apatah lagi anak seni adalah pempengaruh dalam masyarakat dan presentasi kehidupan mereka adalah ‘role model’ kepada masyarakat.
Baik akhlak dan jiwa mereka, maka itu antara lain akan membugar jiwa masyarakat menuruti cara hidup mereka.
Dalam sesi soal jawab, Ustaz Ahmad Dusuki memberi pandangan kepada beberapa persoalan dari tetamu dengan tidak membawa pemikiran secara berhukum sebaliknya membuka minda tetamu, para artis yang hadir dengan mengajak mereka merenung bersama mencari solusi iaitu solusi yang telah dibentangkan dalam Al Quran serta qudwah Rasulullah SAW serta para sahabat dalam seni dan hiburan.


Permulaan Himpunan Anak Seni, Pengerusi Lestari Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor membuka bicara dengan memberi ‘tabik spring’ kepada Pengarah, Harlina Yang Bakri serta Muslim Care Malaysia Society sebagai rakan kerjasama yang berjaya menghimpunkan anak-anak seni pelbagai latar dalam satu majlis serba tersusun di resort yang indah.
Antara lain, himpunan ini kata Dr Riduan adalah permulaan yang baik selepas agak lama tidak mengadakan sesi ‘meraikan’ anak seni khasnya mereka yang sudah mula berhijrah dan membawa rasa kehambaan pada-Nya dalam kehidupan mereka.
Selepas usrah musika dibuat 17 tahun lalu dan terhenti semasa COVID-19 melanda negara, kemudian pasca PKP Lestari mengambil peranan serius menyantuni anak seni pelbagai latar demi membawa mereka kepada seni berkiblat.
Dr Riduan memberi komitmen program seumpama ini dan usrah anak seni dalam membawa gagasan Seni Berkiblat akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan kerjasama pelbagai pihak.
Majlis disusun dengan persembahan artis dan Lestari Buskers berselang-seli.
Usai persembahan Lestari feat Wan Nordin dengan lagu ‘Tak Mungkin Berpaling’ – Slam, ‘Suatu Masa’ – M Nasir dan ‘Sayap Illusi’ – Wings, selebriti dakwah terkenal, Ustaz Dr Zamri Zainul Abidin mengambil tempat memberi ulasan mengenai seni dan hiburan dari kaca mata seorang cendekiawan Islam, selepas gitaris terkenal Zuar XPDC memberi halwa telinga dan disudahkan persembahan Man John.
Kemuncak majlis gilang gemilang di Dewan Dahlia itu diakhiri dengan persembahan ‘ad hoc’ dua otai rock iaitu Hamdan gitaris kumpulan Bloodshed dan Umarul gitaris Iklim, dewan gamat dengan petikan solo gitaris legend dan nyanyian Kamarudin Kepol menyebabkan gamat tepukan, Masing-masing berdiri memberi salutasi.
ABI WAN MUHAMMAD FATHULLAH
Ahli Jawatankuasa Kerja Lestari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/2/2025















